Friday 8 April 2011

Kenali Lebih Dekat Fesyen Warisan Melayu

Apa kata kalau kali ni kita sembang tentang Fesyen Melayu pulak. Kalau ikut perkiraan, sekarang ni dah bulan April. Saya yakin mesti ramai dah mula mencari fabrik-fabrik terkini untuk ditempah sebagai baju raya. Biasalah, kalau bulan Mei baru nak mencari dan nak hantar untuk ditempah, takut tukang jahit dah tak nak terima. Nak tak nak, terpaksalah cari awal-awal, buat tempahan cepat-cepat...TAPI....dalam keghairahan nak cari kain pasang tu, jangan lupa tanggungjawab kita orang perempuan...Ganti puasa mesti settle tau...So, berbalik semula pada Fesyen Warisan Melayu tadi...Saya teringin nak berkongsi dengan anda semua fesyen warisan yang dipakai oleh kerabat diraja, nenek moyang kita pada zaman dahulu sehinggalah sekarang..Jangan ingat Melayu xde fesyen tau...

BAJU KURUNG

Baju kurung antara fesyen warisan yang paling popular dan paling simple di rumpun Melayu ni. Pengertian kurung secara tidak langsung telah membawa erti ‘mengurung atau menutup’ anggota tubuh. Cara ini menepati konsep pakaian cara Melayu setelah kedatangan Islam, sehinggalah istilah ‘kurung’ diertikan sebagai baju yang selesa dan longgar, labuh atau panjang. Ramai antara para wanita suka menambah poket di bahagian sisi baju untuk memudahkannya meletak wallet atau apa-apa barang kecil di dalam poket tersebut. Kalau kita tengok, sesetengah orang suka membuat jahitan mata lalat atau tulang belut di bahagian leher untuk nampak lebih kemas dan cantik. Yang best pasal baju kurung ni...pelbagai jenis fabrik memang cocok kalau nak buat baju kurung. Sama ada fabrik sifon, cotton, songket, sutera, satin....semuanya boleh dan sesuai.

Antara contoh jahitan mata lalat di bahagian leher..Cantik kan? Lagi cantik kalau benang yang digunakan tu lebih gelap atau kontra dengan warna fabrik


BAJU KURUNG CEKAK MUSANG

Fesyen baju kurung cekak musang dipercayai telah mula dikenali pada 1980-an. Ada yang kata, busana nan anggun ni berasal daripada Pahang. baju kurung cekak musang biasanya dihasilkan daripada songket tenunan Terengganu yang bermotifkan bunga tabur. Antara ciri-ciri busana ini ialah mempunyai pesak kembang, berkekek gantung, mempunyai kolar tinggi, labuh sehingga ke paras lutut, dan mempunyai tujuh atau sembilan butang atau kerongsang di bahagian dada sebagai penambah gaya. Butang yang biasanya digunakan ialah butang emas yang dipanggil garam sebuku dan kancing berbatu permata yang lebih dikenali sebagai kunang-kunang sekebun. Busana ini biasanya digayakan bersama kain songket yang diikat di sebelah tepi dengan lipatan ombak mengalun.



Antara contoh baju kurung cekak musang yang menggunakan fabrik sifon sebagai baju serta dilengkapi dengan songket tenun yang dibuat sebagai kain lipat batik



BAJU KEBAYA

Terdapat dua teori tentang asal baju kebaya. Satu mengatakan perkataan 'kebaya' itu berasal daripada perkataan Arab habaya yang bermaksud pakaian labuh yang berbelah di hadapan. Satu lagi mengatakan pakaian seumpama ini dibawa oleh Portugis ke Melaka, maka sebab itulah kebaya telah lama dipakai di Melaka; bukan sahaja oleh wanita Melayu tetapi juga oleh wanita Cina Peranakan (Baba) dengan sedikit perbezaan dalam potongan dan gaya memakainya.
    
Baju kebaya yang asal direka labuh hingga ke paras lutut ataupun lebih. Tangannya panjang dan lebar. Bahagian badannya mengikut potongan badan dan melebar ke bawah bermula dari bahagian punggung. Bahagian hadapannya pula berbelah dan berkolar sampai ke kaki baju. Bahagian yang berbelah ini disemat dengan tiga kerongsang berasingan atau yang berangkai dengan rantai halus. Kerongsang ini dikenali sebagai ibu dan anak kerongsang. Kerongsang yang besar dan di atas sekali dipanggil ibu dan dua lagi yang kecil dan dipakai bawah kerongsang ibu dipanggil anak.


Kebaya ada pelbagai gaya. Contohnya di Selangor, kebayanya tidak berkolar. Di Perak pula lengan kebayanya sangat lebar berbanding dengan kebaya di negeri-negeri yang lain. Di Pahang pula, baju kebayanya yang dikenali sebagai baju Riau Pahang mempunyai leher berkolar dan berkancing seperti baju kurung cekak musang tetapi bahagian hadapannya juga berbelah seperti baju kebaya yang lain, malah turut dipasangkan kerongsang di bawah kancingnya yang berbutang itu.


Baju kebaya sesuai untuk pakaian harian dan juga pakaian pengantin. Bagi pakaian harian seperti untuk ke kerja, baju kebaya sesuai diperbuat daripada kain kapas dan baldu atau sutera dan dipadankan dengan kain sarung. Bagi pengantin pula, baju kebayanya diperbuat daripada songket dan sepasang dengan kain sarungnya.

Terdapat juga kebaya moden yang lebih dikenali sebagai baju kebaya pendek. Busana ini menampilkan gaya baju separas pinggul dengan kain batik jawa dipilih kerana coraknya yang cocok untuk digayakan bersama dengan baju kebaya pendek. Busana ini sangat sesuai menggunakan fabrik dari jenis kapas bercetak seperti voile, lace atau organza.

Baju kebaya labuh yang menggunakan fabrik songket menampilkan perasaan klasik dan sangat sesuai untuk dipakai ketika hari persandingan. Lebih cantik sekiranya menambah aksesori seperti kerongsang emas atau rantai emas labuh 



sumber :

Majalah Nona keluaran April 2011 
http://kebudayaan.kpkk.gov.my
http://malaysiana.pnm.my


Wednesday 6 April 2011

Pemilihan Fabrik yang Sesuai untuk Hari Penuh Bermakna

Alamak...confiusnya..design dah ada, potongan baju yang kita nak pun dah ada..terbayang-bayang dalam fikiran..tapi, ada satu je lagi yang terkurang. Fabrik...fabrik yang mana nak dipakai masih belum dipilih lagi. Takut juga kalau salah pilih fabrik, habis lari potongan baju yang kita impikan tu. Silap-silap haribulan, banyak yang kena ubah. Tak pasal-pasal, kos pembuatan bertambah, fabrik pun berkemungkinan besar akan rosak sedangkan kita betul-betul kesuntukan waktu. Almaklumlah, nak pakai cepat. Hari bermakna dah nak dekat. Tak kiralah hari pertunangan ke, hari persandingan, hari nak ambil anugerah, dinner, hari penerimaan ijazah (graduation day), bergaya di pagi Aidilfitri dan banyak lagi. Apa kata kali ni kita kupas sedikit tentang pemilihan fabrik yang sesuai.

SONGKET

Haa...untuk pengetahuan semua, songket merupakan pilihan fabrik utama untuk digayakan pada hari yang penuh bermakna.
  • Sinaran benang emas atau perak menjadi aset utama yang dapat menyerlahkan kelebihan songket.
  • Antara songket yang berkualiti ialah songket Terengganu serta Indonesia yang sememangnya kita semua sedia maklum, cara pembuatannya yang penuh dengan ketelitian telah menampilkan fabrik yang berkualiti. Tetapi, untuk pengetahuan semua, tenunan songket tempatan adalah lebih kemas dan halus buatannya berbanding dengan songket import. 
  • Ini ada sedikit tips penting dalam penjagaan songket. Songket perlu diletakkan di tempat yang betul-betul kering dan perlu dicuci dengan cucian kering. Elakkan daripada merendam songket kerana ianya boleh mengubah tekstur dan merosakkan benang fabrik tersebut.
  • Susunan bunga songket terbahagi kepada tiga iaitu bunga tabur, bunga penuh dan bunga bercorak
  • Antara nama songket yang dikenali ialah tampuk manggis, pucuk rebung, lawi ayam dan bunga cengkih.

Antara contoh fabrik songket yang digayakan oleh Serina dalam bentuk baju kebaya mampu menyerlahkan keanggunan seorang wanita.
sumber : mingguanpesona.blogspot.com


SUTERA

Fabrik sutera pula merupakan fabrik yang terbaik untuk membuat pakaian, terutamanya fabrik sutera dari China.
  • Untuk perkahwinan, biasanya pasangan mempelai lebih gemar memilih sutera dari jenis Thai dan Shangtung bagi majlis persandingan. 
  • Tambahan aksesori seperti renda atau jahitan jemeki menjadikan fabrik sutera tersebut lebih menarik. 
  • Rekaan kebaya moden, baju kurung dan gaun adalah amat sesuai menggunakan fabrik sutera. 
  • Elemen corak abstrak dan bunga dalam pelbagai warna akan menjadikan fabrik dutera tersebut tampak 'live'.
  • Fabrik ini juga lebih lembut dan sejuk serta dapat memudahkan pergerakan anda. 
  • Broked China juga boleh dijadikan pilihan, nampak lebih menyerlah dengan potongan kebaya labuh klasik. 
  • Tips penting : jangan lipat fabrik sutera untuk disimpan. Sebaiknya gantungkan fabrik tersebut agar kualiti kain tidak rosak dan tahan lama.
  • Tetapi kita mesti berhati-hati tau...fabrik sutera tidak boleh dipakai semasa solat dan yang penting...Lelaki tidak boleh memakai sutera sebab, sutera tu perhiasan untuk kaum hawa sahaja.
 Penatahan manik pada corak fabrik sutera juga dapat menyerlahkan lagi penampilan sutera tersebut
sumber : http://jahitanmaniksuani.blogspot.com


SIFON
Selain daripada fabrik songket, sifon juga menjadi trend pilihan para wanita untuk majlis akad nikah, dinner serta musim perayaan.
  • Fabrik sifon sangat cocok sekiranya digabungkan bersama satin
  • Fabriknya adalah ringan dan sangat sensitif. Oleh yang demikian, jangan sesekali kita membasuhnya dengan detergen yang kuat atau memasukkannya ke dalam mesin basuh.
  • Jika anda memilih sifon rona lembut, anda disarankan untuk menggunakan pelapik atau lining daripada rona terang atau gelap. Warna kontra sebegini mampu menyerlahkan corak fabrik sifon tersebut.
  • Anda juga disarankan untuk memilih fabrik sifon dari jenis 'georgette' agar fabrik tampak jatuh elok apabila dikenakan di badan anda.
  • Apa kata anda mencuba design kebaya pendek atau baju kurung moden. Pastinya dapat menyerlahkan aura anda.
  • Tips penting : Simpan fabrik sifon anda di dalam sarung pakaian dan gantungkannya...Ingat...! Jangan sesekali anda melipat fabrik sifon anda.

    ORGANZA

    Fabrik organza menjadi pilihan fabrik yang digemari oleh para wanita terutamanya untuk hari pernikahan serta persandingan.
    • Walaupun fabriknya  keras, tetapi kelihatan eksotik dengan corak sulaman yang memenuhi ruang fabrik ini. Apatah lagi sekiranya digandingkan dengan fabrik dari jenis satin, pastinya si pemakai kelihatan lebih memikat.
    • Sesuai untuk anda yang tinggi dan ingin kelihatan anggun. Tetapi tidak sesuai untuk mereka yang bertubuh gempal.
    • Untuk penjagaan, fabrik dari jenis ini boleh direndam tetapi janganlah terlalu lama. Tetapi, sekiranya fabrik seperti ini dihiasi dengan aksesori seperti kilauan jemeki, labuci dan manik, pastikan anda menghantarnya ke dobi untuk cucian kering.
    • Fabrik organza juga tidak menyerap peluh, pastikan anda meletakkan sutera atau satin sebagai lining.

    RENDA

    Fabrik jenis renda adalah lebih mahal harganya kerana kualitinya yang baik. Merupakan fabrik terkenal di Perancis kerana lebih halus dan ekslusif.
    • Tips : Elakkan menggunakan fabrik renda untuk keseluruhan busana , untuk mengelakkannya daripada kelihatan sarat oleh kerana motif corak sulaman penuh dan jarang.
    • Fabrik satin menjadi padanan terbaik untuk kain renda.
    • Warna putih susu dan putih asli menjadi pilihan bagi pasangan mempelai untuk majlis akad nikah dan persandingan.
    • Amat sesuai untuk rekaan baju kebaya, baju kurung dan gaun.

    sumber artikel : majalah nona, bil.135, edisi April 2011