Friday 8 April 2011

Kenali Lebih Dekat Fesyen Warisan Melayu

Apa kata kalau kali ni kita sembang tentang Fesyen Melayu pulak. Kalau ikut perkiraan, sekarang ni dah bulan April. Saya yakin mesti ramai dah mula mencari fabrik-fabrik terkini untuk ditempah sebagai baju raya. Biasalah, kalau bulan Mei baru nak mencari dan nak hantar untuk ditempah, takut tukang jahit dah tak nak terima. Nak tak nak, terpaksalah cari awal-awal, buat tempahan cepat-cepat...TAPI....dalam keghairahan nak cari kain pasang tu, jangan lupa tanggungjawab kita orang perempuan...Ganti puasa mesti settle tau...So, berbalik semula pada Fesyen Warisan Melayu tadi...Saya teringin nak berkongsi dengan anda semua fesyen warisan yang dipakai oleh kerabat diraja, nenek moyang kita pada zaman dahulu sehinggalah sekarang..Jangan ingat Melayu xde fesyen tau...

BAJU KURUNG

Baju kurung antara fesyen warisan yang paling popular dan paling simple di rumpun Melayu ni. Pengertian kurung secara tidak langsung telah membawa erti ‘mengurung atau menutup’ anggota tubuh. Cara ini menepati konsep pakaian cara Melayu setelah kedatangan Islam, sehinggalah istilah ‘kurung’ diertikan sebagai baju yang selesa dan longgar, labuh atau panjang. Ramai antara para wanita suka menambah poket di bahagian sisi baju untuk memudahkannya meletak wallet atau apa-apa barang kecil di dalam poket tersebut. Kalau kita tengok, sesetengah orang suka membuat jahitan mata lalat atau tulang belut di bahagian leher untuk nampak lebih kemas dan cantik. Yang best pasal baju kurung ni...pelbagai jenis fabrik memang cocok kalau nak buat baju kurung. Sama ada fabrik sifon, cotton, songket, sutera, satin....semuanya boleh dan sesuai.

Antara contoh jahitan mata lalat di bahagian leher..Cantik kan? Lagi cantik kalau benang yang digunakan tu lebih gelap atau kontra dengan warna fabrik


BAJU KURUNG CEKAK MUSANG

Fesyen baju kurung cekak musang dipercayai telah mula dikenali pada 1980-an. Ada yang kata, busana nan anggun ni berasal daripada Pahang. baju kurung cekak musang biasanya dihasilkan daripada songket tenunan Terengganu yang bermotifkan bunga tabur. Antara ciri-ciri busana ini ialah mempunyai pesak kembang, berkekek gantung, mempunyai kolar tinggi, labuh sehingga ke paras lutut, dan mempunyai tujuh atau sembilan butang atau kerongsang di bahagian dada sebagai penambah gaya. Butang yang biasanya digunakan ialah butang emas yang dipanggil garam sebuku dan kancing berbatu permata yang lebih dikenali sebagai kunang-kunang sekebun. Busana ini biasanya digayakan bersama kain songket yang diikat di sebelah tepi dengan lipatan ombak mengalun.



Antara contoh baju kurung cekak musang yang menggunakan fabrik sifon sebagai baju serta dilengkapi dengan songket tenun yang dibuat sebagai kain lipat batik



BAJU KEBAYA

Terdapat dua teori tentang asal baju kebaya. Satu mengatakan perkataan 'kebaya' itu berasal daripada perkataan Arab habaya yang bermaksud pakaian labuh yang berbelah di hadapan. Satu lagi mengatakan pakaian seumpama ini dibawa oleh Portugis ke Melaka, maka sebab itulah kebaya telah lama dipakai di Melaka; bukan sahaja oleh wanita Melayu tetapi juga oleh wanita Cina Peranakan (Baba) dengan sedikit perbezaan dalam potongan dan gaya memakainya.
    
Baju kebaya yang asal direka labuh hingga ke paras lutut ataupun lebih. Tangannya panjang dan lebar. Bahagian badannya mengikut potongan badan dan melebar ke bawah bermula dari bahagian punggung. Bahagian hadapannya pula berbelah dan berkolar sampai ke kaki baju. Bahagian yang berbelah ini disemat dengan tiga kerongsang berasingan atau yang berangkai dengan rantai halus. Kerongsang ini dikenali sebagai ibu dan anak kerongsang. Kerongsang yang besar dan di atas sekali dipanggil ibu dan dua lagi yang kecil dan dipakai bawah kerongsang ibu dipanggil anak.


Kebaya ada pelbagai gaya. Contohnya di Selangor, kebayanya tidak berkolar. Di Perak pula lengan kebayanya sangat lebar berbanding dengan kebaya di negeri-negeri yang lain. Di Pahang pula, baju kebayanya yang dikenali sebagai baju Riau Pahang mempunyai leher berkolar dan berkancing seperti baju kurung cekak musang tetapi bahagian hadapannya juga berbelah seperti baju kebaya yang lain, malah turut dipasangkan kerongsang di bawah kancingnya yang berbutang itu.


Baju kebaya sesuai untuk pakaian harian dan juga pakaian pengantin. Bagi pakaian harian seperti untuk ke kerja, baju kebaya sesuai diperbuat daripada kain kapas dan baldu atau sutera dan dipadankan dengan kain sarung. Bagi pengantin pula, baju kebayanya diperbuat daripada songket dan sepasang dengan kain sarungnya.

Terdapat juga kebaya moden yang lebih dikenali sebagai baju kebaya pendek. Busana ini menampilkan gaya baju separas pinggul dengan kain batik jawa dipilih kerana coraknya yang cocok untuk digayakan bersama dengan baju kebaya pendek. Busana ini sangat sesuai menggunakan fabrik dari jenis kapas bercetak seperti voile, lace atau organza.

Baju kebaya labuh yang menggunakan fabrik songket menampilkan perasaan klasik dan sangat sesuai untuk dipakai ketika hari persandingan. Lebih cantik sekiranya menambah aksesori seperti kerongsang emas atau rantai emas labuh 



sumber :

Majalah Nona keluaran April 2011 
http://kebudayaan.kpkk.gov.my
http://malaysiana.pnm.my


No comments:

Post a Comment