Thursday 31 March 2011

Tips Memilih Fabrik yang Sesuai dengan Tubuh Badan


Emm, fabrik yang macam mana agaknya sesuai dengan bentuk tubuh badan kita selain daripada menjamin keselesaan kita apabila mengenakan busana tersebut? Mengikut fakta, pemilihan fabrik adalah sangat penting dan tidak boleh dipinggirkan kerana ianya amat penting dalam memilih sesuatu fesyen atau rekaan untuk digayakan. Sekiranya kita bijak memilih, tak mustahil seseorang yang berbadan besar akan kelihatan lebih langsing. Jom kita perhatikan jenis-jenis fabrik yang biasanya menjadi pilihan kepada penggemar fabrik. Antara fabrik yang popular dan biasa digunakan ialah lycra, sifon, sutera, crepe, satin dan fabrik dari jenis jersi.

Pada kebiasaannya, fabrik sifon menjadi antara fabrik yang digunakan secara meluas dalam bidang fesyen. Terdapat 2 jenis sifon (setakat yang saya tahu) iaitu sifon India dan sifon China. Biasanya, sifon India menjadi pilihan kerana ianya memudahkan jahitan manik pada atas busana sebab, sifon India ni sifatnya lebih keras sikit daripada sifon China. Walaupun sifat sifon India macam tu, ianya masih lagi berciri lembut dan beralun dan tetap nampak cantik apabila digayakan. Dan yang sebenarnya, fabrik seperti sifon dan crepe memang diakui memberi kelebihan kepada si pemakai tak kira apa juga saiz badan serta ketinggian kerana kelembutan bahannnya yang mampu membantu menyerlahkan lagi gaya. Justeru itu, jika dihasilkan apa saja rekaan busana asalkan menggunakan sifon atau crepe pastinya akan kelihatan unik dan cantik dipandang.



Fabrik satin sutera juga adalah antara fabrik yang bermutu tinggi dan ianya sesuai untuk koleksi yang menyerlahkan gaya mewah dan glamor. Jadi, tak hairanlah kalau harga busana daripada jenis fabrik ni boleh mencecah sehingga ke ribuan ringgit. Walaupun potongannya menutupi seluruh tubuh, kita takkan terasa panas sebab kainnya berciri lembut dan selesa dipakai. Bagaimana dengan fabrik jersi? Haa...ni berita baik untuk mereka yang mempunyai bentuk badan sedikit berisi. Fabrik jersi sangat sesuai kepada wanita yang mempunyai bentuk badan berisi kerana lenggokan kain dari fabrik tersebut dapat menyembunyikan bahagian tersembunyi yang tidak mahu didedahkan. Ciri-ciri fabrik jersi yang bergetah sangat sesuai digunakan oleh mereka yang bertubuh gempal kerana fabrik ini mampu memberi keselesaan kepada si pemakai. Selain daripada itu juga, fabrik dari jenis jersi tampak berat dan dapat mengimbangi bentuk tubuh apabila dipakai.

Semoga dengan sedikit perkongsian ni memberi makna kepada wanita-wanita yang gemar berfesyen tetapi keliru dengan pemilihan fabrik yang sesuai dengan keinginan, kesesuaian dan keselesaan kita. Bak kata pepatah, biarlah alah membeli tetapi menang memakai. Biarlah mahal sedikit fabrik yang kita pilih dan beli, asalkan boleh menjamin kualiti serta keselesaan dan kepuasan diri kita.

No comments:

Post a Comment