Thursday 31 March 2011

Tips Memilih Warna Fabrik Warisan

Adakah anda ragu-ragu atau takut untuk berfesyen? Risau sekiranya busana yang dipakai oleh anda tidak kena dengan fesyen semasa atau tidak sesuai untuk anda? Jangan risau.... Soal fesyen adalah terlalu abstrak untuk dinilai. Terpulang kepada kita untuk mengenakan atau memilih fesyen yang bagaimana tetapi haruslah menitik beratkan garis panduan Islam yang telah ditetapkan kepada kita, kaum hawa.

Untuk pengetahuan anda semua, fabrik songket, sutera serta batik yang sudah diberi nafas baru, sejajar dengan peredaran zaman amat sesuai dipakai ketika majlis rasmi atau formal, pada acara kasual atau santai, acara bukan formal, serta untuk digayakan ketika majlis persandingan atau pertunangan kita. Ini bermakna, fabrik songket, sutera serta batik yang merupakan fabrik warisan adalah sangat fleksibel untuk digayakan di mana-mana majlis  bergantung pada rekaan yang diinginkan dan warna fabrik tersebut.

Fabrik yang menggunakan warna lembut seperti merah jambu, ungu lembut, peach, putih dan krim dapat menimbulkan unsur romantik, seksi serta menyerlahkan kelembutan dan gaya feminin seorang wanita. Sudah menjadi 'trend' kebanyakan pasangan pengantin yang memilih tema pernikahan dari rona lembut kerana warna-warna lembut sebegini memberi simbolik kepada kesucian cinta yang bakal disatukan pada hari yang bersejarah. Tambahan lagi, rona lembut juga sangat sesuai dipadankan dengan apa-apa warna yang lain oleh sebab sifatnya yang fleksibel.

Bagaimana pula dengan warna terang seperti merah, hijau pucuk pisang, biru turquoise, dan kuning? Untuk pilihan warna seperti ini, ianya sangat sesuai digayakan ketika hari persandingan, menghadiri majlis makan malam dan meraikan hari perayaan. Penggunaan warna yang terang mempamerkan suasana yang ceria dan girang sesuai dengan tema meraikan hari yang dinanti-nantikan. Penggunaan warna yang terang juga mencetuskan ilham segar kepada si pemakai yang inginkan penampilan mereka mendapat perhatian.

Bagi yang bertubuh besar atau gempal, anda tidak perlu risau. Pemilihan warna gelap seperti hitam, coklat, biru-hitam, ungu gelap adalah pilihan yang tepat dan sesuai untuk tampak lebih cantik. Untuk muslimah yang bertudung, apa kata anda mencuba variasi warna yang agak kontra dengan warna songket sama ada mengikut warna corak atau sulaman yang ada pada fabrik tersebut.

Sekiranya anda keliru untuk memilih warna yang sesuai dengan anda, apa kata jika anda memilih warna-warna kesukaan anda dan bawanya ke hadapan cermin. Cuba kenakan fabrik tersebut ke badan anda satu persatu, pastinya anda akan berjumpa warna yang cocok dengan diri anda. Orang kata alah membeli menang memakai, alang-alang memilih fabrik, biarlah pilih yang betul-betul memuaskan hati. Selamat berfesyen!

No comments:

Post a Comment